Jumaat, Jun 22, 2012

Czech cair gara-gara jaringan CR7


“Aduh..Menyesal aku pilih Republik Czech. Kalaulah aku sokong
Portugal, confirm boleh pi (pergi) jauh punya”. Itu antara cebisan
duka saya selepas Czech ditunjukkan jalan pulang dalam saingan Euro
2012 awal pagi Jumaat lalu.

Dengan lelah bermain futsal di Seksyen 16, Shah Alam belum habis lagi
sebelum menonton siaran langsung pertemuan berkenaan, saya tidak terus
melelapkan mata sebaik tiba di rumah. Sebaliknya, terus berjegil di
depan televisyen berskrin 39 inci di atas sofa empuk sambil di temani
gadjet komputer riba, broadband celcom dan air kopi O panas.

Sebelum start (mula) permainan, telefon bimbit asyik dihujani sms dan
panggilan. Tapi saya tak menjawabnya. Malas! Ya, memang saya malas nak
melayan kerenah manusia pagi-pagi buta. Kerana, saya mahu fokus nonton
aksi suku akhir Euro 2012.

Berbalik kepada perlawanan Czech dan Portugal, pada saya amat sengit
dan mendebarkan. Saling berbalas serangan namun tiada jaringan gol
terhasil pada 45 minit pertama. Pendek kata, sama liat laa..

Czech lebih banyak bermain agresif namun dihampakan ketumpulan jentera
serangan yang masih ‘malu-malu’ menyumbat gol depan gawang lawan.

Malah, pengendalinya, Michal Bilek menyatakan mereka yang lebih kerap
memegang bola pada babak pertama tetapi ‘bateri’ pemain kian
berkurangan akibat serangan pantas dan menggila Portugal.

Namun, macam biasa la ayat pasukan yang kalah. Macam-macam alasan
diberinya. Apapun, eleman tuah dan nasib juga memainkan peranan dalam
sukan bola sepak ini.

Saya syak Portugal menggunakan ahli nujum bagi mencapai kemenangan.
Bayangkanlah, main macam budak sekolah tapi boleh pula hasilkan
jaringan! Jangan marah ek.. Saya bergurau sahaja dengan
kalian...hik..hik..

Kepada coach Bilek, anda jangan risau! Saya tetap menyokong pasukan
anda walaupun saya penyokong tegar Kedah dan berjiwa Malaya!
Jarak yang beribu-ribu kilometer dari Baling untuk sampai ke Prague
tidak menggugah langsung sokongan saya ini sebelum Euro bermula
(walaupun pada asalnya memilih Ukraine sebelum kempen bermula).

Mengikut statistik laman web goal.com, anak didik Paulo Bento itu
jelas mendominasi perlawanan dengan penguasaan bola sebanyak 62%
berbanding Narodak hanya 38%.

Ketika saya menyangka permainan bakal diheret ke masa tambahan, hero
pujaan wanita seluruh dunia, Cristiano Ronaldo tiba-tiba meledak gol
m-79...Arghh..Tidak!! Ini bermakna, Czech bakal tersingkir andai gagal
menyamakan kedudukan.Dan telahan saya itu 100 peratus tepat. Czech
disingkirkan!

Kini, tiada kedengaran lagi lagu kebangsaan Czech kedengaran di Poland
dan Ukraine.. Pesta mengecat wajah dan sorakan penyokong setia mereka
hilang begitu sahaja.

Seperkara wajar di puji penyokong Czech. Mereka tampaknya tidak
berkira soal wang dan kos pengangkutan. Bagi mereka, kepuasan
menyaksikan kelibat pemain negara melebihi segalanya. Jangan tanya
saya andai anda tidak faham maksud frasa ini tadi!

Jika diimbas kembali prestasi skuad yang dipimpin Bilek dalam saingan
Kumpulan A, Czech sepatutnya boleh mengucap selamat jalan terlebih
awal edisi Euro tahun ini. Mana tidaknya, mereka dibelasah tanpa belas
kasihan 4-1 oleh Rusia dalam aksi pembukaan.

Waktu itu, ramai pemerhati bola sepak tidak bertauliah memandang
sebelah mata bekas naib juara Euro 1996 ini. Namun, semangat juang
pasukan Eropah Timur itu belum pernah luntur. Dua jaringan pantas
dalam masa enam minit melalui Petr Jiracek (m3) dan Vaclav Pilar (m6)
menceritakan segala-galanya kebangkitan Czech membenam Greece 2-1 pada
aksi kedua di Wroclaw, 13 Jun lepas.

Aksi terakhir berdepan tuan rumah,Poland di Stadion Miejski paling
dramatik. Jiracek meledak gol tunggal bagi memastikan perjuangan
mereka mara ke pusingan kedua. Namun, seperti dijelaskan di awal tadi,
A Seleccao menamatkan cabaran skuad yang diketuai pemain Arsenal,
Tomas Rosicky yang dikatakan bakal bersara di pentas arena
antarabangsa selepas ini.

Secara peribadi, saya berbangga kemampuan pasukan Czech walaupun
mereka siap berkemas meninggalkan hotel dan pulang ke Prague.

Saya sempat menjengah laman web Wikipedia mengenai rekod pencapaian
Republik Czech. Sejak menyertai kejohanan Eropah buat pertama kali di
Euro 1996 selepas pembubaran Czechoslovakia dan mencapai kemerdekaan
pada 1 Januari 1993, Czech tidak pernah ketinggalan melayakkan diri
beraksi di pentas paling prestij Eropah itu.

Czech bermain di edisi Belgium-Belanda (2000) namun terkandas setakat
peringkat kumpulan. Mereka mara lagi ke Portugal empat tahun kemudian
namun dikecewakan Greece dalam meniti laluan ke final.

Kemudian, semasa kempen di Austria-Switzerland 2008, Czech sedikit
merosot apabila hanya mampu berpuas hati menamatkan saingan di
peringkat kumpulan.

Buat Czech, cuba lagi temasya empat tahun akan datang yang dikhabarkan
bakal dijalankan di Perancis. Biarpun perlu mengharungi pusingan
kelayakan sekali lagi, saya yakin ia tidak memberikan masalah buat
pasukan anda melayakkan diri buat kali keenam berturut-turut.

Pulun Republik Czech Pulun..Moga kita jumpa lagi pada masa hadapan...Zassss.....

Tiada ulasan: